Assalamualaikum.

Tak tahu macam mana nak mula menulis sebenarnya. Tapi saya akan cuba juga coretkan untuk kenangan sendiri dan untuk panduan ibu-ibu dan ayah-ayah di luar sana. Macam yang saya tulis dalam entri sebelum ini (Bawa Ammar Jumpa Pakar ENT), Ammar tiada masalah dari segi pendengaran. Dan kami diberikan tarikh untuk berjumpa dengan speech therapist pada 24 Februari 2014.

Disebabkan tarikhnya agak lambat, kami ambil keputusan untuk pergi buat terapi dengan speech therapist swasta. Hasil dari bertanya dengan group Facebook Autism Malaysia, saya dapat nombor telefon untuk Elite Speech Therapy yang bertempat di Batu Pahat. Temujanji yang dibuat adalah pada 19 Februari 2014.

Pada sesi pertama ini, Miss Kim menjalankan sesi penilaian dahulu dengan cara bermain bermacam-macam permainan dengan Ammar. Dari sesi ini, Miss Kim menyatakan yang Ammar tidak menunjukkan ciri-ciri autism, di mana 'eye contact' Ammar sangat bagus dan dia faham arahan. Cuma, Ammar kurang dalam mengikut gerakan mulut untuk menghasilkan bunyi. Dan Miss Kim juga mengatakan yang hasil dari pemerhatian, dia dapati Ammar ini selalu bermain sendiri, dan sebab tu Ammar kurang nak berkomunikasi.

Sedih sangat rasa bila dengar benda ini. Memang salah saya pun. Saya memang jenis yang tak banyak cakap, jadi memang tak berapa nak bercakap sangat dengan Ammar masa tengah main-main dengan dia. Memang saya temankan dia main, duduk sama-sama dengan dia, tapi saya hilang dalam dunia saya sendiri, dan Ammar dalam dunia dia. =(

Ok sekarangni saya nak kongsikan sedikit perkongsian dari Miss Kim. Saya ceritakan apa yang saya faham dan masih ingat lagi ye. Kalau ada tersalah info, harap ada yang tolong betulkan. Dalam perkembangan bahasa dan pertuturan ini, ada tiga tahap, iaitu:

1) Pra-pertuturan:
Pra-pertuturan merangkumi eye contact, tumpuan, kemahiran bermain, matching (padansuai), ambil giliran, dan tiruan (dari segi bunyi, perkataan, dan fizikal). Ammar OK untuk kesemua ini kecuali untuk tiruan, di mana Ammar tak meniru pun bila kita buat bunyi, perkataan, atau pergerakan fizikal. Dia buat tak tahu je. Huhu.

2) Pemahaman:
Untuk berkomunikasi, pemahaman ini penting. Bermakna, anak faham apa yang kita cakapkan. Dan Alhamdulillah Ammar memang ok dalam bab ini.

3) Penghasilan percakapan:
Bila pra-pertuturan dan pemahaman dah bagus, barulah percakapan/komunikasi akan terhasil.
Untuk Ammar, saya kena usahakan untuk dia meniru apa yang saya cakapkan. Sebabnya dari segi ini, Ammar boleh dikatakan berada pada tahap budak umur 1 tahun, sedangkan umur dia nak dekat 3 tahun dah. =(

Antara point yang Miss Kim tekankan adalah:

1) Intonasi suara:
Cuba bercakap dengan anak dengan intonasi yang berbeza-beza, ada tinggi dan randahnya. Jangan bercakap dalam satu intonasi yang sama.

2) Guna ayat pendek:
Praktis untk cakap ayat yang pendek-pendek je, yang merangkumi kata nama dan kata kerja/kata adjektif sahaja dulu. Contoh: Ammar makan. Jangan cakap macam ini: Ammar mari sini duduk dengan Mama dan makan nasi, Mama masak sedap ni.

3) Banyakkan bermain:
Bermain, bermain, dan teruskan bermain. Sebab anak-anak ini belajar semasa bermain.
InsyaAllah lepas ini saya akan kongsikan pula jenis permainan yang sesuai untuk anak speech delay, dan apa kata speech therapist di hospital Batu Pahat pula.