Thursday, December 04, 2014

Assalamualaikum.

Beli Buku Anak Memang Best!

Bersempena dengan pesta buku Big Bad Wolf yang dah nak bermula ini, Mama nak kongsikan dengan semua tips-tips untuk membeli buku untuk anak-anak. Janganlah nanti disebabkan terliur dengan harga murah, semua buku pun kita nak beli. Tapi akhirnya tak dapat digunakan dengan baik ataupun rasa menyesal je beli. Ok jom kita tengok apa tips-tips tu ye.

TIPS 1: Pilih Material Buku Yang Sesuai

Jika anak kita masih kecil dan masih dalam fasa menggigit, eloklah dibelikan buku dari material kain. Buku kain ini tahan lama dan boleh dibasuh jika sudah kotor. Kemudian bila anak sudah melepasi fasa menggigit dan masuk pula ke fasa mengoyak, eloklah jika dibelikan buku dari material kadbod atau kertas keras. Bagi anak-anak yang sudah melepasi fasa-fasa ini, bolehlah belikan mereka buku dari material kertas biasa.


TIPS 2: Pilih Buku Yang Ada Banyak Gambar Menarik

Buku yang mempunyai gambar yang menarik akan menarik minat anak-anak untuk membaca. Pastikan gambar tersebut menunjukkan jalan cerita tersebut dengan jelas. Ini membolehkan anak-anak menceritakan semula kisah yang ada dalam buku tersebut walaupun jika mereka masih belum pandai membaca.


TIPS 3: Pilih Buku Berdasarkan Tahap Fokus Anak

Jika anak baru dibiasakan dengan aktiviti membaca, biasanya anak ini masih belum boleh fokus dengan sesebuah buku untuk masa yang lama. Jadi seelok-eloknya kita perlu pilih buku yang ringkas dan tidak terlalu panjang. Bila tahap fokus anak semakin meningkat, barulah diperkenalkan dengan buku-buku yang mempunyai ayat yang lebih panjang.



TIPS 4: Pilih Buku Mengikut Minat Anak

Setiap anak pasti mempunyai minatnya masing-masing, kan? Jadi kita boleh gunakan minat ini untuk menarik minat anak membaca buku. Pilihlah buku-buku yang bersesuaian dengan minat anak. Tetapi, kena rujuk pada tips terakhir nanti ye. =)



TIPS 5: Pilih Buku Yang Mempunyai Pengajaran/Ilmu Disebalik Penceritaan

Untuk menjadikan aktiviti membaca ini lebih berkesan, kita perlulah memilih buku-buku yang membantu si anak untuk mempelajari sesuatu. Contohnya belikan buku yang mengajar anak-anak mengenal Allah. Belikan juga buku yang mengajar tentang kasih-sayang dan perlakuan baik. Selain itu, anak-anak juga boleh diperkenalkan dengan buku berbentuk fakta dan buku-buku yang boleh membantu membina kemahiran-kemahiran tertentu.



TIPS 6: Pilih Buku Yang Mempunyai Ayat-Ayat Yang Boleh Dijangka

Bila buku yang dibaca mempunyai struktur ayat berulang-ulsng yang hampir sama, anak-anak akan dapat menangkap 'pattern' ayat-ayat tersebut. Dan bila aktiviti membaca bersama dijalankan, anak-anak boleh meyebut sendiri ayat yang seterusnya walaupun si anak masih belum boleh membaca. Ini akan meningkatkan daya keyakinan anak dan membuatkannya berfikir bahawa aktiviti membaca adalah mudah.



TIPS 7: Plih Buku Yang Beritma (Rhyme)

Buku-buku beritma membantu anak belajar tentang bunyi. Ini juga akan membantu mereka dalam proses membaca.


TIPS 8: PIlih Buku Yang Melibatkan Deria

Anak-anak belajar menggunakan deria mereka iaitu melalui deria rasa, bau, dengar, sentuh, dan lihat. Mereka pasti suka jika buku yang dibaca mempunyai tekstur-tekstur berlainan untuk disentuh dan dilihat. Buku-buku yang berbunyi juga amat menarik minat anak-anak kecil terutamanya bagi yang masih bayi.



TIPS 9: PIlih Buku Berdasarkan Kebolehan Anak

Jika anak baru pandai membaca, bolehlah dibelikan buku-buku ringkas untuk mereka baca sendiri ataupun untuk mereka bacakan pada adik-beradik yang lain.


TIPS 10: Pelbagaikan Pilihan Buku Yang Dibeli

Kita perlu pelbagaikan pilihan buku cerita untuk anak-anak. Boleh ikut tips-tips di atas sebagai panduan untuk membeli. Pastikan pilihan buku kita tidak hanya tertumpu kepada cerita-cerita fiksyen sahaja. Dan jangan juga terlalu mengikut kehendak ataupun kemahuan anak 100%. Kita perlu kreatif dalam mebuat pilihan.


====================================================
Tips-tips ini telah ditulis secara mendalam di blog A Mom's Journey. Mama olah balik tips-tips ini mengikut kefahaman Mama dan menjadikan ianya lebih ringkas. Jika anda ingin membaca teks asal perkongsian ini, bolehlah klik pada link yang Mama sertakan.


Sila tinggalkan komen anda di sini. Saya amat menghargainya. Terima kasih. =)

by MamaBard . 2017 Copyright. All rights reserved. Blog Templates Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates