Monday, March 06, 2017


Assalamualaikum.

Irdhina 'Aqeelah dah tiga bulan, dan baru saya ada kekuatan untuk menulis kisah kelahirannya. Rasa janggal sebenarnya nak mengarang, tapi saya cuba ye.

Due date 'Aqeelah adalah pada 8 Nov 2016 (Selasa). Ammar dan Aneesa dulu memang lahir ikut due date, jadi untuk anak ketiga ini pun saya jangkakan benda yang sama gak. Cuma dalam hati tu adalah teringin nak baby keluar awal sikit. Hihi.

Pagi Sabtu 5 Nov, kami balik ke rumah mertua di Pantai Dalam. Malam tu konon-kononnya nak berjalan di pasar malam, tapi tak jadi pergi sebab tak larat. Dan malam tu juga saya dah start keluar darah. Excited tau time tu, sebab sebelum ni tak pernah merasa blood show.

Malam tu saya tak boleh nak tidur. Bukan sebab sakit. Tapi sebab sibuk baca birth story orang lain. Nak ambil feel la katakan. Tunggu punya tunggu, sampai ke Subuh pun tak ada sakit apa-apa.

Pagi tu lepas sarapan, saya dan suami pergi ke Mid Valley berdua je. Kami merempit naik motor. Aduhh keras-keras rasa perut masa atas motor tu. Masa jalan-jalan kat Mid Valley tu pun banyak kali perut mengeras. Tapi gagahkan juga berjalan sebab nak bagi jalan cepat bukak.

Sepanjang hari Ahad tu memang darah banyak keluar. Tapi cuma suami je yang tahu. Saya ingatkan paling lewat pun malam tu akan bersalin. Tunggu punya tunggu, sekali sampai esok pun tak bersalin lagi.

Jadi kami decide untuk balik semula ke Gombak untuk setelkan beberapa perkara. Hari Isnin tu memang saya banyak bergerak. Turun naik tangga banyak-banyak kali. Round satu rumah dengan Ammar dan Aneesa mengekor kat belakang. Hihi. Pastu henjut-henjut atas gym ball.

Dalam pukul pukul 4pagi, saya terbangun sebab sakit contraction. Pastu tertidur balik dan terjaga semula bila sakit. Masa tu memang dah nak kira jarak antara contraction guna apps kat handphone. Tapi bila raba-raba tangan bawah bantal, tak jumpa plak handphonenya.

Episod bangun sebab sakit dan tertidur balik ni berulang banyak kali sampailah saya dengar azan Subuh! Hihi. Masa tu cepat-cepat kejut suami dan cakap nak bersalin dah ni. Saya pun pergi mandi dan solat. Lepas suami solat, kami terus gerak ke Pantai Dalam dulu sebab nak hantar Ammar dan Aneesa.

Kami sarapan dulu kat sana sambil-sambil saya layan contraction. Bila tengok jarak contraction dah konsisten 5 minit, terus gerak ke XXXXXXX. Tapi bila dah masuk kereta ni, sakitnya makin berkurang plak dan makin jauh-jauh jaraknya. Sempatlah juga saya berWhatsapp dengan customer yang nak beli barang.

Sampai je di XXXXXXX, kena buat saringan dulu. Mula-mula nurse tanya kenapa. Saya cakaplah nak bersalin dah. Tadi jarak contraction dah 5 minit. Pastu nurse suruh baring dan dia pasangkan mesin CTG. Contraction memang ada. Tapi nurse pelik tengok saya relaks je macam tak sakit.

Nurse buat VE, dan dia terkejut sebab dah 6cm. Terus cepat-cepat masuk labour room. Dalam labour room tu ada saya sorang je pesakit yang nak bersalin. Saya terus salin baju dan ke tandas untuk buang air kecil.

Bila masuk semula dalam bilik, bidan datang nak check bukaan. Masa ni dah 7cm. Bidan suruh saya duduk atas gym ball dan henjut-henjut. Saya memang tak rasa sakit sangat pun masa tu. Enjoy je siap senyum-senyum lagi. Nurse-nurse yang ada pun pelik je tengok.

Lagi sekali bila bidan masuk, dia request nak buat VE. Kali ni dah 8cm dan dia pecahkan air ketuban sekali. Masa air tu keluar je, muka bidan terus berubah. Dan dia terus panggil doktor.

Rupa-rupanya baby dah berak dalam perut. Bila doktor masuk je, keadaan terus jadi macam tegang. Kelam-kabut. Tiba-tiba je macam ramai nurse dalam bilik tu. Doktor tanya ingat lagi tak cara meneran? Saya angguk je la. Pastu doktor picit perut saya.

Kalau tak silap saya doktor picit perut tu ntuk tengok tahap contraction. Kalau tak boleh dicubit, maksudnya dah ready untuk teran. Tapi perut saya masa tu masih boleh dicubit. Sakit contraction yang saya rasa pun sikit je sebenarnya. Tapi doktor dah nak suruh push.

Saya tak boleh nak push sebab tak rasa sakitnya. Doktor kata 'takpe kami bantu'. Diorang bantu dengan cara tengok bacaan CTG tu. Bila mesin tu menunjukkan ada contraction, saya dipaksa untuk meneran. Tapi saya tak boleh nak buat. Aduhh stress!

Last-last doktor tekan perut saya dan tolak ke bawah. Pun tak boleh gak. Last sekali, doktor pergi ke area kaki dan tarik baby keluar. Allah. Tak tahu nak kata apa. Semua benda jadi dengan terlalu cepat.

Nurse terus tunjuk baby pada saya dan tanya baby apa. Masa tu memang nampak punggungnya penuh dengan poo-poo. Baby tak diletakkan terus ke badan saya sebab nurse nak bersihkan badan dia dari najis dulu.

Sekarangni, masa untuk tunggu uri keluar pula. Dan lagi sekali muka doktor dan nurse dah nampak lain sebab uri tu lambat keluar. Last-last doktor suruh masukkan tiub untuk keluarkan air kencing sebab mungkin pundi kencing saya penuh. Sakitnya masa nak masukkan tiub tu. Huhu. =(

Bila uri dah keluar, satu lagi masalah adalah rahim tak kecut-kecut. Darah pun banyak yang keluar. Bidan kena urut-urut perut saya secara perlahan-lahan untuk merangsang pengecutan rahim. Dalam 30minit juga bidan kena buat macam tu.

Dan dalam masa yang sama, sorang lagi bidan jahit bahagian yang luka. Dah habis jahit, dia pun check. Pastu dia panggil bidan lagi sorang untuk tengokkan. Dah salah jahit rupanya! Kenalah buka dan jahit semula. Masa ni ubat bius dah habis. Jadinya memang boleh rasalah setiap kali kena cucuk dengan jarum tu. Allah, ngeri bila diingat balik.

Masa tu kan, sebenarnya saya macam dah tak ada perasaan. Rasa kosong sangat-sangat. Rasa macam kau buatlah apa kau nak buat, asalkan semuanya cepat habis. Aku nak keluar dari bilik ni cepat-cepat.
Bila dah habis jahit, baru saya dapat pegang dan menyusukan baby. Itu je la yang menggembirakan saya masa tu.

Walau apa pun, syukur semuanya selamat. Cuma rasa ngeri nak lalui pengalaman bersalin macam ni lagi.

Sila tinggalkan komen anda di sini. Saya amat menghargainya. Terima kasih. =)

by MamaBard . 2017 Copyright. All rights reserved. Blog Templates Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates