Saturday, March 21, 2015

Assalamualaikum.

Hinakah seorang wanita apabila dia hanya bergelar seorang suri rumah? Bodohkah seorang bekas siswazah apabila memilih untuk tidak bekerja setelah habis belajar? 

Ya Allah, hebat betul dugaan yang perlu dihadapi bila profesion suri rumah ini dijadikan pilihan. Hati kena kuat bila berjumpa dengan orang yang tahu status pendidikan kita sebelum ini. Sungguh, kadang-kadang air mata in melimpah jua.

Sejak bila masyarakat kita sudah tertanam dengan stigma bahawa setiap wanita perlu bekerja untuk tambah pendapatan keluarga? Sedangkan zaman dulu-dulu, mak dan nenek kita juga hanya duduk di rumah membesarkan kita. Dan bapa yang keluar mencari rezeki buat keluarga.

Sejak bila masyarakat kita beranggapan seorang isteri perlu bekerja supaya dapat membantu suami mencari duit? Dan jika hanya jadi suri ruamh, bermakna kerja kita adalah menghabiskan duit suami. Sedangkan urusan mencari nafkah keluarga memang terletak di bahu dia.

Kenapa dan mengapa wanita perlu diberatkan dengan isu ini? Betapa ramai wanita yang rasa terbeban dengan isu ini, sampaikan tak sanggup nak buat pilihan berhenti bekerja. Sedangkan memang itu yang mereka hendak sangat lakukan. Tapi terpaksa dipendam disebabkan tak sanggup nak berdepan dengan keluarga dan masyarakat yang terlalu mendesak.

Bagi Mama, bekerja di luar memang bukan pilihan. Buat masa sekarang, Mama perlu tumpukan 100% perhatian pada anak-anak. Terutamanya pada Ammar yang masih belum boleh bercakap walaupun dah nak masuk empat tahun bulan Mei ni. 

Ya, bolehlah dikatakan Mama mempunyai anak 'special-need' buat masa sekarang, walaupun bukanlah masalah seperti autism dan ADHD, cuma speech delay. Tapi tetap memerlukan perhatian yang lebih.

Mama ada terfikir macam mana hendak jadikan profesion suri rumah ini kembali unggul macam zaman-zaman dahulu. Sebab itu Mama menggunakan tagline blog ini sebagai "Blog Suri Rumah Moden". Mama ingin menaikkan kembali martabat seorang suri rumah.

Biarlah selepas ini bila orang tanya kerja apa; kita akan jawab dengan bangga: "Saya suri rumah". Dan bukannya menjawab dengan jawapan "Saya tak kerja, duduk rumah je".

Kadang-kadang kita sendiri yang merendah-rendahkan status ini. Kita malu nak mengaku kita seorang suri rumah. Sepatutnya, kita perlu bangga kerana mampu menguruskan rumahtangga dan menjaga anak-anak sepenuhnya.

Ya memang bila tidak bekerja, pendapatan keluarga jadi kurang. Nak beli itu tak boleh, nak makan di luar selalu pun tak boleh. Tapi, bersyukurlah.

Dan jika rasa memang tidak boleh bergantung hanya pada pendapatan suami, cubalah buat perniagaan online. Ada banyak sangat pilihan bisnes online yang boleh kita lakukan. Risau tak boleh nak bahagikan masa antara bisnes dan keluarga? Jangan risau, kita ni orang perempuan memang Allah dah bagi kelebihan superpower yang orang lelaki tak ada.

Jadi, janganlah kita malu lagi untuk bergelar seorang suri rumah. Jangan merendah-rendahkan diri sendiri. Apa pandangan kita pada diri sendiri, maka itu jugalah pandangan orang pada kita. 

Bila orang mempersoalkan keputusan kita ini, cubalah jawab dengan berhemah. Jika tak boleh nak jawab, senyum sahajalah. Jangan berdebat tak tentu hala, terutamanya dengan mereka yang lebih tua.

Allah ada bersama-sama dengan orang yang sabar.
Saya bangga jadi seorang suri rumah.
Jika anda juga bangga, sila share entri ini. TQ. =) 

Sila tinggalkan komen anda di sini. Saya amat menghargainya. Terima kasih. =)

by MamaBard . 2017 Copyright. All rights reserved. Blog Templates Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates