Friday, April 26, 2013

Assalamualaikum.

Tempoh kehamilan selama 9 bulan merupakan satu tempoh yang panjang, tetapi amat menyeronokkan. Walaupun ada banyak cabaran, tapi Mama yakin setiap ibu hamil pasti tidak sabar-sabar untuk melihat bayi yang berada di dalam kandungannya itu, kan? 

Sebagai seorang ibu mengandung, kita bukan sahaja perlu memakan makanan yang seimbang sepanjang tempoh kehamilan. Tetapi kita juga perlu menitik-beratkan amalan semasa mengandung yang baik untuk ibu dan juga bayi. Di bawah ini Mama senaraikan beberapa amalan semasa mengandung yang boleh kita praktikkan.

1. Didikan Di Alam Rahim
Para pakar perubatan sependapat bahawa anak-anak boleh dididik menjadi cerdik dan berakhlak mulia sejak ia berada di alam rahim lagi. Apabila janin meningkat usia empat bulan, si ibu mestilah mengawasi setiap tindak tanduknya kerana pada tempoh tersebut Allah SWT telah meniupkan roh ke atas janin yang dikandunginya. Pada waktu inilah janin sudah boleh mendengar dan mengamati suasana persekitaran yang berlaku.

Dalam usaha melahirkan anak yang patuh mendengar kata ibu dan ayah, si ibu perlulah menunjukkan contoh yang baik ini sejak dari awal lagi. Patuh mentaati perintah Allah swt dan taat pada suami dan Insya-Allah, anak yang lahir nanti akan turut mewarisi sifat tersebut.

2. Jaga Tingkah Laku
Ketika hamil emosi si ibu memang tidak stabil dan mudah marah. Namun si ibu perlu bijak mengawal emosi dengan menjaga tutur kata dan tingkah laku agar tidak menunjukkan akhlak yang buruk. Anak di dalam kandungan sentiasa mendengar suara persekitarannya. Jadi, tuturkan dan dengarkanlah perkara-perkara kebaikan sepanjang kehamilan anda. Tujuannya, agar si anak dapat mendengarinya sekali gus mewarisi sifat-sifat kebaikan itu.

3. Beribadah
Apabila si ibu dan ayah rajin beribadah, insya-Allah si anak juga akan mewarisi sifat itu. Si anak yang dilahirkan dalam suasana tetap beribadah akan menunjukkan kesungguhannya untuk bersembahyang dan sensitif dengan kalimah Tuhan apabila usianya menginjak dua tahun. Malah ada yang sudah pandai mengucapkan kalimah memuji Allah swt dalam usia semuda itu.

4. Komunikasi
Selain solat, ibu hamil juga disarankan untuk mengucapkan kalimah-kalimah yang baik. Berbisiklah pada bayi di dalam kandungan dengan kalimah-kalimah suci memuji Tuhan. Yakinlah si anak mendengar dan mendoakan yang terbaik buat ibunya.

5. Membaca Al-Quran
Banyakkan membaca Al-Quran, bertahlil, berzanji, marhaban, berzikir, berselawat, berdoa dan amalan sunat yang lain agar zuriat yang lahir menjadi anak yang soleh dan solehah.

Sila tinggalkan komen anda di sini. Saya amat menghargainya. Terima kasih. =)

by MamaBard . 2017 Copyright. All rights reserved. Blog Templates Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates