Tuesday, September 16, 2014

Assalamualaikum.

Mendidik anak bukannya satu perkara yang mudah. Didikan ini sebenarnya bermula sejak bayi berada dalam perut si ibu lagi, dan berterusan setelah bayi dilahirkan dan membesar. Didikan yang betul sudah pasti akan menampakkan hasil yang baik. Dan sebagai orang Islam, sudah semestinya panduan terbaik untuk mendidik anak adalah berdasarkan kepada al-Quran dan sunnah.

Hari ini Mama nak kongsikan dengan semua mengenai cara mendidik anak mengikut cara Rasulullah. Rasulullah merupakan seorang yang sangat penyayang dan penyabar. Baginda suka pada kanak-kanak dan sentiasa menunjukkan contoh yang baik pada mereka. Jadi, kita seharusnya mengikut jejak Rasulullah dalam mendidik anak-anak kita.

Cara terbaik mendidik anak adalah dengan mengikut kepada tahap umur mereka, kerana setiap tahap umur itu berbeza tahap kematangan fikiran. Cara pendekatan yang perlu digunakan untuk setiap peringkat umur ini juga berbeza-beza. Jom kita lihat perbezaannya ye.

1. Umur Anak Sejak Lahir HIngga 6 Tahun
Pada peringkat umur ini, anak-anak perlu dimanjakan dan diberikan perhatian yang sepenuhnya. Anak-anak juga tidak dirotan pada tempoh masa ini walaupun mereka ada melakukan kesilapan. Ini bagi membolehkan anak merasa lebih dekat dengan kita, dan supaya mereka tahu yang ibubapa merupakan sebahagian daripada mereka. Anak-anak akan berasa selamat di dalam mengharungi usia muda mereka ini kerana mereka tahu yang ibubapa sentiasa ada di sisi mereka.

2. Umur Anak 7 Hingga 14 Tahun
Pada peringkat ini, anak-anak sudah diperkenalkan dengan sikap bertanggungjawab dan nilai-nilai disiplin. Mereka juga sudah perlu diajar bersolat pada ketika ini. Sedikit ketegasan mungkin diperlukan bagi menimbulkan rasa gerun pada diri anak-anak. Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam.

3. Umur Anak 15 HIngga 21 Tahun
Ini merupakan tahap yang agak mencabar dalam mendidik anak-anak, kerana mereka sudah memasuki usia remaja. Para remaja ini mempunyai sifat ingin mencuba yang sangat tinggi. Dan jika tidak dibimbing dengan betul, meraka mudah terjebak kepada perkara yang tidak elok. Di peringkat ini, ibubapa perlu menjadi kawan terbaik buat anak-anak.

Dengar setiap cerita dan masalah mereka dengan teliti. Jika ada perkara salah yang dibuat, tegur meraka dengan cara yang berhemah dan tidak memalukan mereka di depan orang lain. Pendek kata, ibubapa perlu menjadi kawan baik anak supaya mereka tidak mencari keseronakan lain di luar rumah.

4. Umur Anak 21 Tahun Dan Ke Atas
Untuk peringkat ini, ibubapa sudah perlu melepaskan anak-anak untuk mereka membuat keputusan hidup sendiri. Tetapi ibubapa tetap perlu memantau dan menasihatkan mereka jika perlu. Apa yang lebih penting, doakanlah kesejahteraan mereka dunia dan akhirat. InsyaAllah dengan segala didikan dan bimbingan yang telah diberikan selama ini, anak-anak akan bersedia menghadapi dunia luar dan membentuk keluarga mereka sendiri pula.

Sila tinggalkan komen anda di sini. Saya amat menghargainya. Terima kasih. =)

by MamaBard . 2017 Copyright. All rights reserved. Blog Templates Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates