Monday, April 27, 2015

Assalamualaikum.

Ramai yang tak suka buat urusan berkaitan baju ni kan? Tak kiralah sama ada basuh baju ke, lipat baju ke, ataupun gosok baju ke, semuanya dah jadi igauaan ngeri. Terutamanya bagi orang perempuan la, sebab kebanyakan tugas-tugas ni kita yang kena buat. Tapi bab beli baju lajulah plak kan? Hihi.

Mama sendiri pun tak suka nak buat benda-benda ni selalu. Tapi sejak Mama amalkan tips-tips kat bawah ini, memang rasa mudah sangat. Tak adalah rasa stress nak menghadap kerja yang sama hari-hari. Dan dengan cara ini, Mama ada lebih banyak masa untuk buat aktiviti bersama dengan anak-anak dan untuk buat aktiviti kesukaan, iaitu membaca.

OK, jadi apa tipsnya tu?

Tips Mudah Urus Baju

1. Tetapkan hari basuh baju (aka Laundry Day)

Kenapa perlu tetapkan hari? Supaya tak perlulah hari-hari kena menghadap baju sampaikan bila tengok baju tu rasa nak termuntah. Macam Mama sendiri, mula-mula dulu rancang nak basuh dua kali seminggu je (punyalah pemalas kan?!). Tapi tak boleh, sebab mesin basuh rumah ini muatannya kecil je.

Lepastu bila ada anak kecil, pakaian yang dibasuh agak banyak. Jadi sekarang ni Mama basuh tiga kali seminggu, iaitu pada hari Isnin, Rabu, dan Jumaat. Hujung minggu memang dikosongkan dari sebarang aktiviti sebab selalunya kami memang tak ada di rumah.

2. Pastikan baju bukan dalam keadaan terbalik masa dimasukkan ke dalam bakul

Maksudnya, sebelum masukkan baju ke dalam bakul baju kotor, betulkan dulu baju tu supaya macam kondisi baju baru nak dipakai. Kan selalunya bila kita buka baju, baju tu akan dalam keadaan terbalik dan kita terus je masukkan dalam bakul.

Kalau tak buat step ni, nanti bila nak sidai, nak kena betulkan satu-satu dulu. Bila dah nak kena betulkan setiap satu dalam masa yang sama, mulalah rasa penat. Tapi kalau buat tiap-tiap kali kita salin pakaian, memang tak terasa sangat.

3. Teknik sidai pakaian yang betul

Ini yang paling penting. Pastikan kita sidai semua pakaian menggunakan hanger. Dan untuk pakaian yang jenis sepasang, kita sidai sekaligus pada hanger yang sama; iaitu seluar di dalam, baju di luar. Takut tak kering? Setakatni yang Mama buat Alhamdulillah kering je bajunya dan tak ada masalah bau hapak.

Dan pastikan susun baju-baju tu mengikut cara susunan dalam almari. Sebagai contoh untuk baju anak-anak, Mama susun yang di bahagian depan untuk baju harian, di belakang untuk baju tidur.
Sambil sidai baju sambil susun. Memang sangat senang tau! Kalau dibandingkan bila baju dah kering baru kita nak susun satu-satu dalam almari ikut kategori. Kalau tak percaya, cuba buat dulu.

4. Terus gantung baju yang dah kering dalam almari

Bila baju dah kering, terus angkat dan gantung dalam almari. Ataupun kalau tak ada almari baju, gantung je di tempat sidai pakaian macam gambar ni. Mama pun gunakan tempat sidai baju ni untuk pakaian anak-anak.


Ok kan tadi kita dah susun baju ikut kategori, jadi bila sampai step ke-4 ni, kita cuma perlu ambil baju dari ampaian dan simpan. Dalam dua minit je pun dah boleh siap!

Oh terlupa pula. Untuk pakaian yang tak sesuai untuk digantung seperti pakaian dalam, kain pelekat/batik, tuala mandi; haa yang ni kenalah lipat ye. Tapi sekurang-kurangnya jika sebelum ini kena lipat satu bakul penuh, tapi sekarang separuh bakul pun belum tentu lagi.

Jadi dah tak adalah rasa malas nak lipat baju. Selalunya kan bila tak sempat lipat, nanti akan bertambah lagi dengan baju yang baru dibasuh. Daripada satu bakul, jadi dua bakul, dan seterusnya. Bila baju terperuk je dalam bakul, nanti susah nak gosok sebab dah berkedut teruk. (Klik sini untuk tips lipat baju supaya tak berterabur apabila diambil)

InsyaAllah dengan cara ini, kita akan kurang habiskan masa dengan urusan baju, padahal urusan tu kita tak suka buat pun. Lebih baiklah kita habiskan masa dengan benda-benda lain, kan? Cumanya untuk ikut cara ni, kena sediakan banyak hanger. Mama beli di kedai RM2 je dulu. Tapi sekarang dah RM2.12 sen, GST punya pasal.

Lagi satu, lebih elok kalau guna hanger yang sama warna dan jenis. Barulah nampak teratur dan tak sakit mata memandang.

Ok setakat ni je dulu untuk tips urus baju. Nanti Mama kongsikan tips-tips lain yang berguna untuk mak-mak macam kita ni.

Sila tinggalkan komen anda di sini. Saya amat menghargainya. Terima kasih. =)

by MamaBard . 2017 Copyright. All rights reserved. Blog Templates Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates