Friday, October 19, 2012

Assalamualaikum.

Salam Jumaat buat semua. Di hari yang baik ini, marilah kita buat renungan bersama-sama. Semoga dapat menambahkan rasa kasih dan sayang kita kepada ibu kita. InsyaAllah.

Pernah tak kita terfikir betapa besarnya pengorbanan ibu kita? Mula-mula ibu kita mengandungkan kita. Dari saat ibu mula mengandung, macam-macam yang perlu ibu lalui. Muntah-muntah, mual-mual, panas badan, susah nak tidur, kejang kaki, dan macam-macam lagi. Dan daripada badan yang kurus, ibu kita bertambah beratnya dari masa ke semasa. Tapi ibu tetap gigih membawa kita ke mana saja dia pergi. Semakin besar kandungannya, semakin banyak yang ibu perlu lalui. Berjalan sikit dah mengah, sakit pinggang, sakit belakang. Tapi ibu pasti akan tetap tersenyum gembira bila merasa pergerakan kita dari dalam perutnya.

Dan bila sudah cukup usia kandungan, ibu pun akan mula merasa kesakitan untuk melahirkan kita. Makin lama, sakit itu makin memuncak. Tapi ibu tetap akan berusaha untuk mengeluarkan kita, walaupun terpaksa bergadai nyawa. Jika di masa itu ibu perlu memilih antara nyawanya dan nyawa anaknya, si ibu pasti akan memilih nyawa anaknya. Ya Allah, betapa besarnya kasih sayang ibu! Walaupun sakit untuk melahirkan, tetapi si ibu pasti akan tersenyum gembira bila anaknya sudah melihat dunia dan kedengaran tangisannya yang pertama. Subhanallah, inilah bukti kekuasaan-Mu ya Allah.

Belum sempat lagi hilang sakit dan penatnya melahirkan kita, si ibu diduga pula dengan cabaran untuk menjaga kita di dalam pantang. Masalah bengkak susu, itu perkara biasa. Bagaimana rasa sakitnya? Rasanya cuma orang yang pernah melaluinya saja akan faham betapa sakitnya bengkak susu. Bukan setakat itu, kadang-kadang anak yang baru dilahirkan itu tidak mahu berenggang dengan si ibu. Masakan tidak, sudah sembilan bulan si anak mendengar suara ibu, mendengar degupan jantung ibu, dan berada begitu hampir dengan ibu. Bila dia keluar ke dunia, semuanya terasa begitu asing buatnya. Dan bagi si anak, hanya si ibu yang mampu mententeramkannya.

Bila si anak mula membesar, pelbagai keletah yang mecuit hati ditunjuknya. Aktif bergerak ke sana sini. Dan bila terjatuh, si ibu juga yang dicarinya. Bila sedih, pada si ibu juga tempat dia meluah rasa. Pendek kata, tiada istilah rehat bagi seorang yang bergelar ibu. Setiap masanya, adalah untuk anaknya. Sebab itu, martabat ibu sungguh mulia. Syurga di bawah tapak kakinya. ^_^

Sila tinggalkan komen anda di sini. Saya amat menghargainya. Terima kasih. =)

by MamaBard . 2017 Copyright. All rights reserved. Blog Templates Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates