Thursday, July 02, 2015


Assalamualaikum.

Alhamdulillah Mama dapat susukan kedua-dua orang anak, Ammar dan Aneesa. Dan untuk setiap anak ini Mama ada pengalaman kena bengkak susu. Selepas bersalinkan Ammar, ada beberapa perkara yang berlaku yang menyebabkan Ammar tak mahu menyusu secara terus dengan Mama.

Jadi Mama kena pam susu dan beri melalui botol. Ada satu hari masa dalam berpantang tu, tiba-tiba je Mama kena bengkak susu. Memang payudara rasa keras sangat. Dia punya sakit tu memang tak boleh nak cerita. Gerak sikit pun sakit. Dan keadaan jadi lagi teruk bila bengkak susu tu menyebabkan Mama demam!

Demam menggigil-gigil memang rasa seram sejuk sangat badan. Rasanya itu pertama kali rasa demam yang sangat teruk. Sampaikan Mama menangis. Mula-mula tu, rasa macam tak nak makan Panadol. Tapi disebabkan tak tahan sangat, terpaksa juga ambil. Panadol ini sebenarnya boleh dimakan oleh ibu-ibu yang menyusukan, tak ada kesan pun pada bayi, InsyaAllah.

Antara petua yang Mama buat masa bengkak susu tu adalah sikat dari pangkal payudara ke puting, dan juga tekapkan kelopak kobis pada payudara. Alhamdulillah, esoknya dah pulih semula. Tapi rasa sakit memang sampai sekarang Mama ingat. Inilah antara salah-satu cabaran dalam penyusuan susu ibu.

Semasa menyusukan Aneesa pula, ada juga kena bengkak susu. Tapi tak sampai demam sebab Mama cepat-cepat letak kobis. Lagipun bila dah ada pengalaman menyusukan anak sebelumnya, jadi untuk anak-anak seterusnya akan jadi lebih mudah.


Untuk mengelakkan dari terkena bengkak susu ini, ada beberapa tips mudah yang boleh kita praktikkan sejak dari hari pertama melahirkan.

1. Susukan bayi sekerap mungkin, iaitu dalam jarak antara 1-2jam. Macam Ammar dulu, dia tidur nyenyak sangat sampai kena dikejutkan untuk minum susu! Lepastu baru hisap sikit dia dah tidur balik. Memang kena kacau-kacau dia tidur untuk bagi minum susu.

2. Kosongkan sebelah payudara sepenuhnya pada setiap sesi menyusu. Maksudnya jika bayi menyusu di belah kanan, biarkan sahaja dia menyusu sehingga payudara terasa kosong. Jika bayi nak susu lagi, baru bagi sebelah kiri. Kalau tidak, untuk sesi menyusu seterusnya bagi bayi menyusu di sebelah kiri pula.

3. Pastikan bayi melekap pada payudara dengan sempurna. Caranya adalah dengan memegang payudara kita dari bahagian bawah dalam bentuk C. Langkah ini akan membuatkan bayi lebih mudah untuk melekap. Pastikan keseluruhan aerola berada dalam mulut bayi. Kalau bayi hanya melekap pada bahagian puting sahaja, lama-lama puting boleh luka.

4. Jika payudara sudah terasa keras, picit dahulu untuk mengeluarkan sedikit susu. Ini kerana bayi sukar menghisap jika payudara ibu terlalu keras.Boleh juga letakkan tuala suam setiap kali sebelum sesi penyusuan bagi melancarkan pengeluaran susu.

5. Jangan lupa untuk pakai bra yang dikhaskan untuk ibu-ibu menyusu. Bra ini dapat menampung keperluan payudara ibu yang keadaan payudaranya berubah-ubah mengikut kapasiti susu. Anda boleh nampak perubahan ini sebelum dan selepas sesi penyusuan. Jika pakai bra biasa, ditakuti anda akan merasa sakit apabila payudara sudah mulai penuh.

Inilah antara tips-tips yang boleh diamalkan oleh ibu-ibu yang menyusukan. Semoga perkongsian ini dapat membantu anda untuk mengelakkan dari terkena bengkak susu. InsyaAllah.
Salam sayang dari MamaBard,

Sila tinggalkan komen anda di sini. Saya amat menghargainya. Terima kasih. =)

by MamaBard . 2017 Copyright. All rights reserved. Blog Templates Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates