Wednesday, July 29, 2015

Assalamualaikum.

Semalam Mama ada kongsikan tips menyusukan bayi di awal kelahiran. Dan salah satu tipsnya adalah untuk beri suami faham tentang penyusuan susu ibu ini. Bila suami dah faham, barulah mudah untuk dia berikan sokongan.

Kali ini kita hayati pula apakah peranan suami dalam menjayakan penyusuan susu ibu selama 2 tahun ini?

Peranan Suami dalam Penyusuan Susu Ibu

1. Membuat pemilihan hospital

Suami perlu berbincang dengan isteri tentang hal pemilihan hospital. Seelok-eloknya pilihlah hospital rakan bayi. Status hospital rakan bayi ini diberikan pada hospital yang menyokong penyusuan susu ibu sepenuhnya. Anda boleh cari hospital rakan bayi yang berdekatan dengan rumah anda.

2. Sokongan moral dan emosi

Isteri sangat memerlukan sokongan dari suami. Sebaik sahaja selepas melahirkan bayi, isteri mungkin masih lagi berasa lemah dan letih. Suami perlu memberi semangat kepada ibu untuk terus menyusukan bayi.

3. Tolong jawaw bagi pihak isteri

Semasa dalam proses penyusuan susu ibu, mesti ramai yang akan memberikan pendapat bahawa susu ibu sahaja tak cukup. Akan terdengarlah kata-kata 'bayi tak kenyang tu'. Di sinilah suami perlu bertindak untuk mempertahankan hak anak dan isteri.
Selalunya orang tidak akan membesar-besarkan lagi hal tersebut jika sang suami yang menjawab. Jawablah dengan cara yang baik tetapi tegas.

4. Sediakan bajet untuk penyusuan

Menyusukan bayi dengan susu ibu memang jimat, kerana tidak perlu membeli susu formula setiap bulan. Tetapi suami tetap perlu menyediakan bajet untuk membeli pam susu, plastik susu, warmer, dan sebagainya. Benda ini sangat penting bagi ibu-ibu yang bekerja, kerana mereka perlu menyimpan stok susu yang secukupnya.


5. Bantu isteri menyusu di tempat awam

Jika ingin keluar berjalan-jalan, pilihlah tempat yang mempunyai bilik menyusu khas. Tetapi jika tiada, suami perlulah membantu isteri untuk mencari tempat yang agak tersorok untuk menyusu. Kalau tak ada jaga, suami perlu membantu menjaga aurat isteri semasa isteri tengah menyusukan anak.

6. Membantu di waktu malam

Lebih bagus rasanya jika suami juga turut bangun malam untuk menguruskan anak. Semasa si ibu tengah menyusukan bayi, suami boleh pergi ke dapur untuk buatkan air panas dan sediakan makanan ringan sedikit untuk ibu. Sebab selalunya selepas sahaja menyusukan anak, si ibu akan rasa lapar dan badan menggigil. Ini kerana penyusuan susu ibu akan membakar banyak kalori ibu.
Sejurus menyusukan anak, si ibu boleh menikmati hidangan ringan yang suami sediakan dan suami pula boleh membantu untuk menukar lampin bayi.

7. Membantu dalam hal rumah tangga

Bila isteri menyusukan anak, dia tak dapat bergerak ke mana-mana. Kalau anak tu jenis yang kerap menyusu dan lama pula tu, memang banyaklah kerja-kerja ibu yang tergendala.
Jadi suami bolehlah tolong selesaikan mana-mana kerja ibu seperti basuh baju, sidai baju, lipat baju, menyapu, mengemop, dan sebagainya. (eh banyak betul kan tugasnya, tapi selama ni suami selalu tak perasan. hihi).

8. Sediakan suplemen untuk isteri

Setiap kali bayi menyusu, bayi akan mendapat nutrisi dari susu tersebut. Tapi nutrisi-nutrisi tersebut datang dari badan si ibu. Jadi jika si ibu tidak mendapat tambahan nutrisi untuk menggantikan nutrisi yang telah keluar, makin lama si ibu akan kekurangan nutrisi.
Sebab itu kebanyakan ibu menyusu yang tidak mengambil suplemen kelihatan letih dan lesu. Bagi yang tak cukup kalsium pula, akan mengalami sakit-sakit pinggang dan belakang.

Sila tinggalkan komen anda di sini. Saya amat menghargainya. Terima kasih. =)

by MamaBard . 2017 Copyright. All rights reserved. Blog Templates Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates